Tuesday, October 4, 2011

Ulasan Album Baru - Anuar Zain 2011

| |


Album ini mula dipasarkan lewat September lalu.  Kelebihan yang paling ketara untuk album ini ialah konsep pemasaran yang mana album dipasarkan terlebih dahulu sebelum diperkenalkan kepada sidang media begitu juga dari segi produksinya.

Susunan muzik di dalam album ini seakan-akan membawa kita seperti menghayati konsert sama ada di Istana Budaya mahupun di Dewan Filharmonik KLCC.  Sangat menarik.  Bayangkan sekiranya Anuar membuat konsert sebegini.  

Mengekalkan konsep seperti album sebelumnya, yang mana 80% komposer yang terlibat adalah kebanyakan komposer dari negara jiran, Indonesia. Yang kita sedia maklum, Anuar merupakan seorang yang "perfectionist". Mungkin lagu-lagu gubahan komposer luar lebih sesuai dengan vokal dan juga citarasanya.

Lagu 1 "Ku Berjanji Karna Cinta"  

Salah satu lagu kegemaran saya.  Lagu ini sangat menyentuh jiwa.  Melodi dan lirik yang cukup indah dan vokal Anuar bagi saya sangat relaks dan penuh penjiwaan.

Lagu 2 "Nadi Terhenti" 

Bagi saya, gubahan anak tempatan Aylwin Santiago ini dan lirik oleh Tinta kedengaran biasa sahaja.  Akan tetapi, melodinya agak menarik untuk didengar.


Lagu 3 "Ajari Aku"  

Lagu ini merupakan ciptaan sepenuhnya Adrian Martadinata.  Apa yang menarik tentang lagu ini ialah mungkin dari segi susunan muzik.  Kita tak menyangka yang susunan muziknya akan sebegitu.  Sangat menarik.  Salah satu lagu kegemaran saya.

Lagu 4 "Pernahkah" 

Lagu ini kolaborasi diantara Jimmy Sogalrey dan Ari Bias. Melodi yang mudah dan bersahaja tetapi sedap didengar. 


Lagu 5 "Simpati Cintamu" 

Lagu ciptaan anak tempatan, Hazami.  Melodinya mempunyai kelainan. Saya rasa inilah kali pertama Anuar menyanyikan lagu yang sebegini. 


Lagu 6 "Sempurnakan Aku"

Lagu sentuhan sepenuhnya oleh Numata.  Anuar mungkin sudah biasa dengan pencipta ini kerana beliaulah yang telah mencipta lagu yang sangat popular di dalam album Anuar yang terdahulu iaitu "Lelaki Ini" dan juga "Ketulusan Hati" (my all time favourite song)Melodinya sangat menyenangkan hati dan sekiranya didengari pada waktu malam, akan terbuailah perasaan.   Paduan vokal Anuar dan backup vocal, Uci Nurul dipertengahan lagu cukup serasi.


Lagu 7 'Terindah" 
Pencipta lagu adalah Nico Ajie Bandy. Lagu ini cukup sedap didengar.  Melodi yang ada nada rendah dan nada tinggi amat sesuai dengan vokal Anuar.


Lagu 8 "Cinta Harus Memiliki" 
Satu lagi lagu ciptaan Numata, melodi dan liriknya cukup melankolik. Amatlah bersesuaian lagu ini dijadikan penutup album ini. Khas untuk mereka yang putus cinta, anda akan dibuai perasaan tatkala mendengar lagu ini.  



Keseluruhannya, album ini benar-benar menonjolkan identiti Anuar sebagai penyanyi balada.  Album ini juga menunjukkan peningkatan yang agak baik dari segi vokalnya.  

Saya juga berharap yang Anuar dapat memuatkan lagu popular yang dinyanyikan bagi OST Hikayat Merong Mahawangsa, iaitu "Sedetik Lebih" untuk dimuatkan di dalam album ini.  Ternyata sangkaan saya meleset sama sekali.

Secara peribadi, saya agak terkilan kerana lagu-lagu yang dimuatkan boleh dikatakan semuanya berunsur balada.  Tidak seperti albumnya yang terdahulu yang memuatkan satu atau dua buah lagu yang rancak, bagi mengimbangkan halwa telinga pendengar.  Sehingga kini, saya masih merasakan bahawa album "Lelaki Ini" itulah album terbaik daripada Anuar Zain. 

 

0 comments:

top

Post a Comment