Dipetik daripada IluvIslam.com
Dalam perjalanan hidup ini seringkali kita merasa kecewa. Kecewa
sekali. Sesuatu yang luput dari genggaman, keinginan yang tidak tercapai
dan kenyataan yang tidak sesuai dengan harapan.
Dan sungguh sangat beruntung andai dalam saat-saat tergoncangnya
jiwa, masih ada setitik cahaya dalam kalbu untuk merenungi kebenaran.
Masih ada kekuatan untuk melangkahkan kaki menuju majlis-majlis ilmu dan
majlis-majlis zikir yang akan memberikan ketenteraman jiwa.
Hidup ini ibarat belantara. Tempat kita mengejar pelbagai keinginan
dan impian. Dan memang manusia diciptakan mempunyai kehendak serta
mempunyai keinginan. Tetapi bukan semua yang kita inginkan dapat
dicapai. Sesungguhnya tidak mudah menyedari bahawa apa yang bukan
menjadi hak kita tak perlu kita tangisi. Banyak orang yang tidak sedar
bahawa hidup ini tidak punya satu hukum: harus berjaya, harus bahagia
atau harus-harus yang lain.
Betapa banyak orang yang berjaya tetapi lupa bahawa hakikatnya semua
itu pemberian Allah sehingga membuatnya sombong dan bertindak
sewenang-wenangnya. Begitu juga kegagalan sering tidak dihadapi dengan
betul. Padahal dimensi tauhid dari kegagalan adalah tidak tercapainya
apa yang memang bukan hak kita. Padahal hakikat kegagalan adalah tidak
terengkuhnya apa yang memang bukan hak kita.
Apa yang memang menjadi milik kita di dunia, samada rezeki, jawatan
atau kedudukan, pasti Allah akan berikan. Tetapi apa yang memang bukan
milik kita, kita tidak akan mampu miliki; walaupun ia nyaris menghampiri
kita atau meskipun kita bermati-matian berusaha mendapatkannya.
Maka sudahlah, jangan kau tangisi apa yang bukan milikmu!
0 comments:
Post a Comment