Wednesday, June 1, 2011

Kasih Yang Suci (Nora Elena)

| |


Entri penuh pertama saya yang berbahasa Malaysia :-) 

Saya tergerak untuk membuat entri ini kerana novel ini Kasih Yang Suci, hasil nukilan Meen Zulaikha telah diadaptasikan sebagai drama bersiri yang kini sedang ditayangkan di TV3.  Oleh kerana terdapat nama drama yang sama yang telah ditayangkan, pihak penerbit memutuskan untuk menamakan drama ini "Nora Elena".  




Barisan para pelakon terdiri daripada:

Siti Saleha (Nora Elena)
Aaron Aziz (Seth Tan)
Zul Ariffin (Eid)
Wan Sharmila (Yvon)
Miera Liyana (Miera Tan, adik Seth Tan)
Erry Putra (Inspektor Amir, kawan Seth Tan)
Fateen (Adila, kawan baik Nora Elena)

Ada beberapa watak penting di dalam novel ini.  
Nora Elena
 
Nora Elena (Nora) merasakan bahawa dialah wanita yang paling bahagia. Mempunyai rupa paras yang cantik, berkerjaya dan juga bakal menamatkan zaman bujangnya bersama lelaki yang dicintainya.  Semuanya musnah apabila di saat-saat akhir dia ingin melangkah ke gerbang perkahwinan, tunangnya Saiful Idham (Eid) telah menarik diri. Eid membuat keputusan untuk tidak meneruskan perkahwinan dengan Nora disebabkan perkhabaran yang diterima seminggu sebelum mereka bakal bergelar raja sehari.

Perkhabaran yang diterima oleh Eid sememangnya mengugat hati seorang yang bernama lelaki. Apatah lagi apabila seorang lelaki itu bersungguh-sungguh untuk menempuh alam baru iaitu berumahtangga. Nora dikatakan telah kehilangan dara seawal usia 15 tahun telah menyebabkan Eid dengan serta-merta berubah fikiran untuk menyunting Nora sebagai teman hidupnya.

Nora tidak diberi ruang penjelasan bagaimana kejadian yang meragut kegadisannya berlaku sebaliknya dipersalahkan. Selepas mendapat perkhabaran bahawa perkahwinan dibatalkan, emak Nora jatuh sakit.  Ekoran daripada itu, Nora menerima sahaja kehadiran Seth sebagai suami sekaligus dianggap sebagai penyelamat keadaan walaupun tiada sekelumit rasa pun cinta terhadap Seth.

Seth

Seth Tan, seorang lelaki kacak berketurunan Cina dan juga seorang ahli perniagaan yang berjaya.  Bertahun-tahun lamanya dia mencari Nora untuk menebus kesilapan masa lampau. 
Ditemani dengan perasaan bersalah sepanjang hayat menyebabkan Seth berusaha mencari Nora dengan apa cara sekali pun. Walaupun bertemu dengan Nora yang ketika itu menjadi tunangan orang, Seth tetap berusaha memiliki Nora.   

Kesilapan Seth akhirnya dapat ditebus dengan mengahwini Nora yang dia cari-cari selama ini. Setelah menganut agama Islam dan mengahwini Nora, Seth  seorang suami yang terlalu romantik, penyayang dan sanggup berbuat apa sahaja untuk Nora.  Walaupun Nora terlalu dingin dan tidak mencintai Seth, Seth tetap menjadi seorang suami yang sabar dengan harapan Nora akan mencintainya suatu hari kelak.  Namun, mampukah Nora mencintainya setelah mendapat tahu kesalahan Seth pada masa lampau??

Saiful Idham (Eid)
 
Merupakan tunang kepada Nora. Kasih sayangnya terhadap Nora akhirnya goyah dek kerana perkhabaran kurang enak tentang Nora. Gara-gara tidak berfikir panjang, Eid dengan mudahnya memutuskan pertunangannya dengan Nora walaupun menyedari hari bahagianya terlalu hampir. Eid terburu-buru membuat keputusan untuk meninggalkan Nora tanpa menyedari tindakannya itu akhirnya membuat dirinya merana. 

Perasaan bersalah dan ingin kembali kepada Nora akhirnya timbul dalam diri Eid. Walau bagaimanapun terlewat kerana pintu hati Nora telah tertutup untuk Eid buat selamanya.


Promo Drama Nora Elena

Dengan sengaja saya tidak membuat gambaran secara keseluruhan tentang novel ini kerana dramanya masih lagi ditayangkan.  Kalau sudah tidak sabar untuk mengetahui kesudahannya, kawan-kawan pergi cari ya di kedai-kedai buku, beli dan baca ya. Bagi sokongan pada penulis-penulis tempatan macam ni :-)

Ini merupakan kupasan/ rumusan pendapat saya berkenaan buku ini.

Tidak semestinya perlu berkongsi dengan bakal suami atau tunang bahawa anda  mempunyai  rahsia / kisah silam / peristiwa hitam.  Penerimaan manusia tidak semuanya sama. Sekiranya lebih baik didiamkan perkara ini, maka lebih baik disimpan rapi. Begitulah sebaliknya kalau pasangan anda seorang yang berfikiran terbuka. Tiada guna menyalahkan masa silam yang hitam kerana hidup perlu anda teruskan. Ada masa-masa tertentu anda akan teringatkan peristiwa hitam itu, kawallah diri agar anda tidak kehilangan apa yang telah anda usahakan selama ini. 
Untuk apa juga mengenangkan peristiwa hitam yang akhirnya membuatkan diri anda putus semangat untuk hidup atau anda hidup atas simpati orang semata-mata. Buang sikap negatif tersebut, bangkit dan bina hidup baru yang boleh membahagiakan diri dan masa depan anda kelak.  Walaupun mendung berarak, ianya akan pergi jua dan muncullah sinar mentari yang cerah menyinari segalanya.

Kadang-kadang kita tersedar seolah-olah kita telah tersilap langkah. Hendak berundur terasa macam sudah jauh melangkah. Kalau dari awal dapat mengelak mungkin tidak akan menghadapi kebuntuan sebegini. Ikutkan hati dan perasaan yang akhirnya menjerat masa depan sendiri. Sukar untuk berpatah balik, yang mampu hanya meneruskan langkah walaupun tidak sama seperti awal-awal dulu. Harungi kehidupan mengikut arus dan rentak yang telah tercipta mungkin akan meyenangkan hati dan perasaan. Mungkin.

Percaya atau tidak, ada kalanya pasangan anda hanya mendengar luahan anda bukannya menyelami luahan perasaan anda. Kecil hati dengan sikap pasangan yang berpura-pura menyayangi dan mengasihi? Peristiwa sebegini membuatkan kita tertanya-tanya kenapa ditemukan dengan pasangan kita. Sengsara yang anda hadapi belum tentu dapat berkongsi dengan pasangan anda. Keyakinan akan semakin terhakis apabila satu-persatu sikapnya yang membuatkan kita kecewa. Demi menjamin kebahagiaan zahir, sanggup diamkan saja. Tapi sampai bila? Fikir fikirkan :-)

Dengarkan salah satu lagu di dalam ost drama ini daripada Sofaz - Dan Bila Esok.  Saya suka sangat lagu ini :-)


Setakat ini, saya suka dengan perjalanan drama ini.  Aaron Aziz berjaya membawa  watak Seth, seorang lelaki yang bergelut dengan emosi bersalah, sangat romantik dan betul-betul mencintai Nora.  Dalam pada itu, Seth berusaha sedaya upaya supaya cintanya diterima.  Pada pendapat saya adalah sukar dalam realiti untuk menemui lelaki seperti Seth.  Hanya terdapat di dalam novel sahaja. Hahaha ...

Watak Nora yang dilakonkan oleh Siti Saleha, seorang pelakon baru yang mana saya rasa perlu diluahkan lagi.  Nora setelah berkahwin menjadi seorang yang cepat pemarah, dan merasakan dirinya sudah tidak bebas lagi.  Apatah lagi dia berkahwin dengan orang yang tidak dicintainya.
Jadi, jangan lupa kepada semua untuk menonton drama Nora Elena yang ditayangkan di TV3 pada pukul 7 malam ya :-)

0 comments:

top

Post a Comment